KARANGAN





CONTOH KARANGAN CEMERLANG  




 Bahagian B Saolan Belakangan ini, isu kenakalan remaja hangat diperkatakan dan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang. Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.

 (Soalan 1 Percubaan SPM 2011 MRSM)



         Gunakanlah masa yang adaDengan sebaiknya.Kuatkanlah tekad di hatiMemajukan diriTiada kejayaan yang datangTanpa usaha yang gigihBersusah-susahlah dahuluBersenang kemudianJadilah warga yang bergunaPada keluarga, masyarakat jua negara Sebahagian daripada lirik lagu ‘Remaja’ persembahan kumpulan nasyid Unic saya petik untuk menggambarkan kemaslahatan peranan remaja pada masa ini. Lagu yang menyuntik semanagat ini menyeru para remaja agar menggunakan masa dengan sebaiknya dan mempunyai azam yang kuat demi memajukan diri masing-masing . Melalui usaha yang gigih dan tabah tanpa mengenal jemu dalam bidang yang diceburi serta memiliki sahsiah yang terpuji , remaja akan menjadi warga yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan nusa. Hal ini demikian kerana menurut Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek, belakangan ini, remaja begitu terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada dari segi pengaruh media massa, pengaruh atau desakan daripada rakan sebaya serta ibu bapa dan masyarakat ataupun konflik pergolakan antarabangsa yang semakin hari semakin mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar seluruh negara. Pergolakan antarabangsa yang berlaku sedikit sebanyak mempengaruhi akidah remaja kita. Remaja yang rata-ratanya mempunyai semangat inkuiri atau ingin tahu yang tinggi berserta perlakuan untuk mencuba sedaya upaya sehingga berjaya bak kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, perlu dipandu dan ditarbiah ke jalan yang benar baik melalui diri sendiri, ibu bapa, guru-guru, masyarakat mahupun kerajaan memandangkan remajalah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara ini lantas mencorakkannya menjadi sebuah negara yang unggul dan terbilang. Negara memerlukan remaja yang mempunyai nilai mandiri dan jati diri yang utuh di samping berdaya saing serta berfikiran kreatif dan inovatif. Namun demikian, amatlah malang kepada negara kita jika remaja yang diharap-harapkan akan sentiasa mendukung panji ‘Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara’ kini dikaitkan dengan isu kenakalan. Perbuatan yang melanggar norma, aturan atau hukum dalam masyarakat yang dilakukan pada usia remaja ini dikatakan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang bak kata pepatah, air perabung mengalir ke cucur atap. Isu ini begitu hampir dengan saya memandangkan saya juga seorang insan yang bergelar remaja justeru saya mempunyai peranan dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji agar memiliki ciri-ciri remaja cemerlang dambaan negara.
           
          Sebagai seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji, saya akan mendalami ilmu agama dan mencintai Allah. Ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan diri seseorang kepada Maha Pencipta iaitu Allah swt. Tiada ilmu yang lebih mulia melainkan ilmu agama di dunia ini iaitu ilmu dan pengetahuan Islam yang syumul. Perkara ini boleh dibuktikan melalui pernyataan rasa yang disuarakan oleh ilmuan sains yang terkenal iaitu Albert Einstein (walaupun beliau tidak beragama Islam) yang menyatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta , ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Jelas dapat dilihat bahawa ilmu dan agama mempunyai hubung kait yang sangat akrab. Seseorang yang mendalami ilmu tetapi tidak berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah swt. Saya akan mendalami ilmu agama dengan membaca dan memahami Al-Quran, mengkaji hadis-hadis dan menyelami sirah nabi serta para sahabat. Akhlak Rasulullah yang terpuji dan sempurna yang terkandung dalam Al-Quran dan hadis itu pastinya akan menjadi sumber primer saya bagi membina pemahaman yang kukuh tentang kemuliaan dan kehebatan memiliki sahsiah yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan dan penelaahan yang mendalam sebegini mampu memberi input yang berguna seperti memahami nilai yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari . Nilai-nilai seperti ketakwaan, kesabaran, kegigihan, keikhlasan dan bertanggungjawab semuanya memandu diri saya membina peribadi mulia . Pengajaran daripada Al-Quran dan hadis mampu merobah mana-mana perlakuan saya yang sebelum ini yang dianggap bejat atau kurang memuaskan kepada perlakuan yang positif atau terpuji. Jikalau saya tidak memahami kandungan Al-Quran ataupun hadis, saya akan berjumpa dengan ustaz atau ustazah yang mempunyai pengetahuan yang luas berkaitan dengan agama yang suci ini. Saya akan meluangkan masa untuk pergi ke perpustakaan bagi mendalami ilmu agama kerana di perpustakaan, suasananya yang hening mampu menenangkan fikiran dan mendamaikan jiwa. Dengan mendalami ilmu agama, saya yakin saya mampu membentuk sahsiah diri yang terpuji kerana saya akan memperlihatkan kesopanan berbudi bahasa, kemanisan berkata-kata dan kemampuan memberikan buah fikiran dengan penuh tertib serta matang berlandaskan akhlak Nabi Muhammad saw. Jelasnya, saya akan terhalang daripada menjadi penyumbang petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang.

            Selain itu, satu lagi modus operandi yang sepatutnya saya lakukan adalah dengan menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa saya. Ibu bapa merupakan dua insan yang paling dekat dengan diri saya kerana sesudah saya dilahirkan di muka bumi ini, saya ditatang bagai minyak yang penuh oleh mereka. Begitu besar pengorbanan ibu bapa terhadap saya bermula dengan ibu yang mengandungkan saya dengan jerih payahnya selama sembilan bulan sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa yang bertungkus lumus mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walaupun cuma untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas yang dilakukan oleh bapa kepada saya. Saya tidak ingin hidup menjadi seperti Si Tanggang atau Si Malim Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Saya akan taat kepada ibu bapa dengan cara mendengar dan menerima nasihat yang diberikan mereka dengan tangan yang terbuka dan hati yang lapang. Jika saya tidak bersetuju sekalipun, saya tidak akan memberontak dan meninggikan suara ketika memberikan pendapat malah saya akan berbincang dengan cara yang paling baik atau bertatasusila bagi menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sesuai dengan peribahasa buang yang keruh ambil yang jernih. Allah telah memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada mereka. Perkara ini jelas diterangkan melalui firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 23 yang menyuruh kita berbakti kepada ibu bapa. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu wawancara menyatakan bahawa remaja boleh membina peribadi mulia dengan mentaati ibu bapa melalui perbuatan yang baik, melaksanakan hak-hak mereka dan menjauhkan diri daripada perilaku yang boleh menyakiti hati dan kehidupan mereka. Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga. Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. Terdapat hadis Rasulullah saw. yang bermaksud : “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim." Jelaslah bahawa mentaati ibu bapa mampu menjadikan saya individu yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan moral.

           Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat saya laksanakan adalah dengan menghormati guru-guru. Sepanjang pembelajaran saya hatta sekalipun saya tidak lagi bergelar pelajar, saya akan menghormati guru-guru saya sebagai tanda terima kasih kepada mereka kerana mereka telah bersungguh-sungguh mengajar sehingga saya mampu berdiri dan berpijak di bumi yang nyata menjadi insan yang sebaiknya dan berguna. Guru telah banyak berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak berjasa bermula daripada mereka mengajar kita membaca, menulis dan mengira. Mereka tidak pernah mentertawakan kesalahan yang saya lakukan malah membetulkan setiap satu daripadanya lantas menepati mutiara kata cendekiawan Wellington iaitu, ‘Usah merendahkan diri seseorang kerana tabiat buruknya tetapi bimbinglah ia ke jalan yang lebih baik”. Saya akan menerima dan menjadikan nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru sebagai insentif dan motivasi untuk saya berjaya menjadi insan berguna yang mampu mendaki menara gading . Bukan sahaja guru ialah ibu, bapa, pengajar, pendidik, pengasuh, penasihat dan pembimbing malahan guru adalah segalanya bagi seorang pelajar. Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam mendidik anak-anak muridnya sepatutnya dikenang dan dihargai kerana tanpa jerih payah seorang guru itu, pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di dunia dan akhirat. Dengan ilmulah manusia diangkat menjadi makhluk termulia di sisi Allah swt. sehingga dijadikan sebagai khalifah-Nya di muka bumi. Semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan kita menjaga peradaban dan rasa hormat yang ikhlas terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris para nabi. Justeru dengan menghormati guru, saya mencetuskan rasa insaf dalam diri dan bertatih membentuk sahsiah diri yang terpuji.

            Dalam pada itu, saya akan menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan taulan. Secara perbandingannya, seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih bersama rakan-rakannya berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini demikian kerana selain keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan tempat mengadu, mencurah perasaan dan berkongsi masalah. Sehubungan itu, saya akan menjaga atau memelihara hubungan yang baik dengan rakan tidak kira sama ada rakan saya berlainan agama, kaum mahupun warna kulit. Seseorang yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Saya juga sedaya upaya tidak akan menimbulkan isu sensitif terutama isu agama. Saya akan mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang telah mengorbankan banyak nyawa yang berpunca daripada rusuhan kaum. Saya akan memberikan pertolongan kepada rakan yang memerlukan bantuan kerana dia merupakan rakan yang baik dan telah membantu ketika saya dalam kesusahan. Dalam kehidupan yang singkat ini, saya perlu berbaik-baik dengan semua orang dan bekerjasama dalam semua bidang kerana yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kita digalakkan mencari teman yang baik dan meramaikannya seperti kata pepatah ‘berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari.’ Saya akan menjadi seseorang yang dapat memberi manfaat segi dorongan, nasihat, ilmu dan sebagainya kepada orang lain. Rakan-rakan juga tidak akan berasa kekok apabila berkawan dengan saya sekiranya saya tidak bersikap bagai buntal kembung. Apabila saya menjalinkan hubungan baik dengan rakan-rakan, masalah kebejatan moral tidak akan ada dalam kamus rutin hidup saya sejajar dengan visi saya untuk menjadi remaja yang mempunyai sahsiah terpuji.

           Peranan saya yang terakhir adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermoral . Seorang yang ingin mempunyai sahsiah diri yang terpuji tidak bisa melakukan perkara yang negatif yang mampu keruntuhan akhlak lantas menjatuhkan imej diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Saya tidak akan mudah terpedaya oleh hasutan syaitan yang membisikkan ‘kata-kata bermadu’ kepada anak Adam agar melakukan dosa. Saya sentiasa awas bahawa syaitan telah berjanji akan menyesatkan umat manusia dek sebab Allah swt. telah mencampakkannya keluar dari syurga kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam. Kesombongan merajai hati syaitan dengan alasan dia diciptakan daripada api manakala Adam daripada tanah. Kedegilan syaitan kian hari kian diwarisi manusia hingga pelbagai kebejatan moral dan perlakuan hedonisme mewarnai kehidupan menjadikan nilai-nilai nurni jelas nyata dikesampingkan. Saya tidak mahu terjebak dalam kancah yang serba ‘menyesakkan nafas’ dan boleh memusnahkan visi dan misi saya sebagai seorang Muslim yang cemerlang dan memiiki sahsiah yang terpuji. Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Chee pernah menyuarakan pendapat bahawa , “Para belia harus diasuh dan dididik agar memainkan peranan penting dalam mempamerkan akhlak yang baik sesuai dengan imej di mana-mana sahaja pada bila-bila masa”. Akhlak yang baik termasuklah menghindarkan diri daripada pergaulan bebas, mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga batas-batas aurat dan menjaga hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. ‘First impression’ orang lain terhadap kita amat penting kerana dari situlah orang lain akan dapat menilai diri kita yang sebenar”.

           Kesimpulannya, gagasan dan tugas untuk memupuk, membangunkan dan meningkatkan mutu akhlak dalam kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Tugas ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin berlandaskan lima prinsip yang saya pegang di atas, dengan izin Allah, saya dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji. Pemupukan sahsiah diri ini saya yakin akan membentuk saya menjadi seorang yang beriman dan bertakwa, mempunyai iltizam yang tidak berbelah bahagi, mempunyai kerohanian yang amat tinggi serta mewarisi ciri-ciri akhlak perjuangan Rasulullah saw. Mutiara kata ulamak tersohor Hamka akan saya jadikan pedoman dalam meniti kehidupan ini. Katanya, “Aku hairan melihat orang menyisir rambutnya setiap hari, tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya teapi tidak pernah mencuci hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak akalnya.” Tidak akan saya lakukan perkara yang sia-sia yang bisa menyesatkan saya daripada landasan yang benar sebaliknya pemurnian hati, pemantapan akhlak, ilmu dan akidah akan terus menjadi pegangan perjalanan hidup saya. Semoga isu kenakalan remaja akan lenyap agar tidak lagi menebarkan sayap negatif kepada generasi akan datang bak kata peribahasa ‘Sebab nila setitik rosak susu sebelanga’






CONTOH KARANGAN TERBAIK PELAJAR SMAKASAS (PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2013)


Karangan Berpandu diubahsuai daripada karangan Hasilan Nurul Ashikin bt. Abdullah  ( Tingkatan 5 Ibnu Haitham)  Pelajar Tingkatan 5 Wajib Menyalin Karangan Di bawah.
Huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat. Panjang karangan anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

    Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Semakin hari, masalah wabak pelbagai penyakit semakin menjalar dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia tua atau muda. Jika dahulu masalah darah tinggi  dan  kencing manis merupakan penyakit yang sering dihadapi oleh golongan tua tetapi pada hari ini golongan kanak-kanak juga sering dihantui penyakit berkenaan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011, angka pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200 000 orang  pesakit melebihi bilangan pesakit pada tahun sebelumnya. Sebenarnya masalah kesihatan masyarakat mampu diatasi dengan pelbagai cara terutamanya dengan kemudahan prasarana berkaitan kesihatan semakin banyak disediakan oleh pihak kerajaan. Klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa, Hospital Besar merupakan tempat masyarakat mendapat kemudahan rawatan kesihatan.  Persoalannya, mengapakah kadar pertambahan bilangan pesakit yang tidak mengenal usia berlaku pada zaman sekarang? Bak kata pepatah, setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Salah satu daripadanya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagaimanakah caranya  untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat?

         Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci pengambilan makanan seimbang. Kebanyakan rakyat Malaysia mengganggap pengambilan makanan seimbang ialah diet. Sebenarnya, tanggapan masyarakat mengenai perkara tersebut adalah salah sama sekali.Hal ini kerana pengambilan makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang individu yang mengandungi semua nutrien dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan secara seimbang. Jika kita merujuk piramid makanan, pembahagian pemakanan terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut keperluan makanan berdasarkan seorang manusia normal. Bahagian bawah piramid makanan merupakan kumpulan makanan mengandungi karbohidrat, diikuti dengan kumpulan makanan yang mengandungi vitamin, mineral, dan serat, seterusnya kumpulan makanan yang mengandungi protin, dan terakhir bahagian atas ialah kumpulan makanan mengandungi lemak. Piramid makanan juga merupakan panduan kepada pengguna dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak di bahagian atas sekali, seperti lemak dan gula,. Oleh sebab itu, makanan berlemak hanya perlu kita ambil dalam kuantiti sedikit. Berbanding kandungan karbohidrat perlu diambil dalam kuantiti yang banyak kerana makanan seperti ini membekalkan kita tenaga untuk menjalani kehidupan seharian, contohnya nasi, roti, dan bijirin. Seorang ahli falsafah Yunani iaitu Socrates berkata " Aku makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan." Tegasnya, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang setiap hari.

           Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan memperkatakan gaya hidup sihat iaitu menjalankan aktiviti rekreasi. Sebagai mana yang kita sedia maklum, kegiatan rekreasi merupakan aktiviti yang berfaedah terutama untuk mengisi masa senggang, merehatkan minda dan mengelakkan stress, selain menyehatkan badan. Pada abad milenium ini, banyak tempat rekreasi, sama ada bertemakan air, alam sekitar dan sebagainya. Dengan adanya pusat rekreasi, anak muda atau remaja boleh menyertai aktiviti berkenaan dengan mandaftar diri dan menyertai program yang dianjurkan seperti kursus berkayak, mendaki gunung, , menyelam, "jungle tracking" dan sebagainya. Bagaimana kegiatan rekreasi ini dapat menyihatkan tubuh badan? Aktiviti rekreasi merupakan aktiviti mencabar. Sebelum melakukan aktiviti berkenaan, peserta selalunya diminta untuk melakukan aktiviti regangan agar seluruh sendi dan sistem kardivaskular kita bersedia terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti berkenaan. Bahkan juga, dengan adanya aktiviti regangan dan pemanasan badan, kadar pengaliran darah dan pergerakan jantung akan stabil sebelum peserta melakukan aktiviti yang berat. Selain itu, kelenjar endokrin dan kelenjar adrenalina akan merembeskan peluh yang mengandungi toksin untuk disingkirkan daripada badan. Oleh sebab itu, badan kita akan menjadi sihat dan sukar untuk dijangkiti patogen-patogen penyakit. Kebiasaanya, seorang fasiltator akan memberi penerangan kepentingan melakukan regangan dan peringatan mengenai langkah-langkah menjaga keselamatan sepanjang program rekreasi diadakan untuk mengelak sebarang kemalangan atau kecederaan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau dan sediakan payung sebelum hujan. Justeru, tahap keselamatan peserta lebih terjamin semasa melakukan aktiviti lasak tersebut. Hal ini jelas menunjukkan aktiviti berekreasi merupakan satu cara untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan.

                Mari kita meneruskan perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam membicara aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Sebagaimana kita maklum, remaja tidak lari daripada melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan mereka sejajar dengan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan pelaksanaan Program 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan pelajar sekurang-kurang menyertai satu aktiviti sukan di sekolah. Bahkan juga,Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah 10% syarat kemasukan ke universiti berdasarkan pencapaian pelajar dalam bidang kokurikulum antaranya sukan permainan. Namun, pelaksanaan program ini belum mencapai objektifnya kerana sebilangan pelajar masih belum membudayakan diri mereka untuk bersukan dan penglibatan mereka dalam aktiviti berkenaan hanya sekadar untuk penyertaan bukan sebagai budaya. Sebenarnya, pucuk pangkal permasalahan berkenaan terus berlaku akibat masyarakat masih belum mengetahui akan manfaat dan kepentingan sukan dalam kehidupan mereka. Dengan bersukan, masyarakat akan mendapat manfaat iaitu selain menyihatkan badan, mereka juga akan dapat mencergaskan minda mereka. Hal ini kerana ketika bersukan oksigen akan diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses respirasi, disamping aliran oksigen ke otak akan lebih aktif. Secara langsung neuron-neuron otak juga akan bersambung dan badan akan menerima cas-cas positif yang berfungsi untuk menyihatkan badan dan mencerdaskan otak. Kebaikannya kepada pelajar, mereka tidak akan mudah mengantuk semasa berada di dalam kelas dan sudah pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih bermakna. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa minda cerdas lahir daripada badan yang sihat. Justeru, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti bersukan.

              Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah penting dalam memastikan tahap kesihatan kita sentiasa berada di bawah paras bahaya. Masyarakat Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan terutamanya di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia amat mengambil berat dalam menyediakan prasarana dan kemudahan  kesihataperkhidmatan bertaraf dunia. Hal ini boleh kita lihat di setiap pelusuk negara terdapat pusat rawatan sama ada klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa dan Hospital Besar sentiasa terbuka untuk dikunjungi oleh rakyat yang sedar akan kepentingan kesihatan mereka. Bahkan juga, pengamal perubatan yang sedia merawat pesakit adalah lepasan universiti dikerah berkhidmat di pusat rawatan daerah, dan negeri agar setiap masyarakat mudah untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Berbading suatu ketika dahulu, pesakit yang memerlukan rawatan daripada seorang doktor hanya boleh mendapat perkhidmatan mereka di hospital desa atau hospital besar. Rawatan kesihatan amat penting supaya setiap warganegara akan tahu tahap dan darjah kesihatan mereka dari semasa ke semasa. Apabila kita melakukan rawatan kesihatan secara berskala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali perkembangan kesihatan kita boleh dipantau oleh pengamal perubatan atau doktor dengan sebaik-baiknya. Natijahnya cukup positif kerana pengesanan penyakit secara awal akan memudahkan mereka mendapat rawatan yang sepatutnya. Secara langsung pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit menyerang tanpa disedari terutama penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kecing manis dan serangan jantung. Contohnya, sekiranya pesakit mengalami penyakit kencing manis para doktor berpengalaman akan menasihatkan pesakit mengawal kaedah pemakanan yang sesuai dan sekiranya pesakit mengalamai masalah diabetis yang kronik suntikan insulin akan dilakukan untuk mengawal paras gula dalam badan. Pepatah ada menyebut " mencegah lebih baik daripada merawat." Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah sangat penting dalam memastikan tahap kesihatan masyarakat dalam keadaan baik.

          Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif kita sendiri. Jika kita inginkan kesihatan kita sentiasa sihat, kita perlulah melibatkan diri dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan kita seperti pengambilan makanan seimbang, melakukan aktiviti rekreasi, menyertai aktiviti sukan dan mendapatkan rawatan kesihatan secara sempurna. Oleh itu, untuk menyokong kerajaan dalam merealisasikan Wawasan 2020, kita perlulah memastikan tahap kesihatan kita dalam keadaan terbaik kerana pekerja, pentadbir, dan pemimpin yang sihat jasmani, rohani, emosi dan inteleknya sahaja yang akan dapat membantu menggapai cita-cita pemimpin  untuk memastikan Malaysia mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Justeru, kesihatan merupakan aset paling penting sebagai warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu lebih penting daripada wang ringgit yang menggunung.

Para pelajar boleh mengolah dan, menambah istilah, frasa atau ayat, maklumat atau fakta serta frasa menarik asalkan binaan ayatnya gramatis. 



1 ulasan:

  1. salam cikgu, minta izin untuk salin karangan ini sebagai contoh ya. terima kasih :)

    BalasPadam